Menurut sumber, kesemua anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut berusia antara 28 hingga 48 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 pagi ini.


Menurutnya, kesemua anggota itu dipercayai menjalankan serbuan di sebuah rumah di Majsetic Height, Paya Terubong di sini dan menahan dua lelaki atas kesalahan memiliki empat bungkusan plastik mengandungi cecair disyaki air ketum.


“Anggota polis itu dikatakan menerima wang berjumlah RM4,500 daripada seorang lelaki dipercayai kenalan dua tahanan itu yang bertindak sebagai orang tengah supaya mereka dibebaskan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Menurut sumber itu lagi, kesemua anggota polis berkenaan sudah berkahwin dan masing-masing mula berkhidmat di jabatan berkenaan antara tempoh setahun hingga 18 tahun.


“Kesemua anggota polis dan seorang lelaki yang juga peniaga berusia 28 tahun itu ditahan di IPD Timur Laut mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana menerima, cuba menerima atau meminta suapan,” katanya.


Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Abdul Aziz Aban ketika dihubungi mengesahkan penahahan tersebut dan memaklumkan kesemua tahanan itu dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas pihaknya selesai mengambil keterangan.


“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik sahaja diselesaikan untuk tindakan lanjut,” jelas beliau. - UTUSAN ONLINE