Pemangku Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Azham Shah Azlan berkata, salah seorang daripada yang ditahan itu merupakan remaja lelaki berusia 17 tahun.

Menurut beliau, antara kawasan Felda yang terlibat dalam operasi membanteras penyalahgunaan dadah itu adalah Felda Pasoh, Felda Palong dan Felda Serting Hilir.

“Keseluruhan mereka yang diperiksa dalam operasi ini seramai 75 orang berusia antara 17 hingga 40 tahun dan 57 daripada mereka didapati positif dadah.

“Operasi khas ini dijalankan secara bersepadu dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan melibatkan seramai 132 pegawai dan anggota,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah AADK Negeri Sembilan, Ismail Ahmad Khairi dan Pegawai Turus Risikan Operasi dan Tahanan Ibu pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan, Deputi Superintenden Yap Huat Tian.

Azham Shah berkata, seramai 25 penduduk Felda yang ditahan itu didapati positif dadah jenis methamphetamine, manakala seramai 28 lagi positif dadah jenis heroin dan empat orang positif ganja.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983.

Sementara itu, Ismail berkata, operasi tersebut dilakukan susulan risikan pihak berkuasa yang mendapati Jempol antara 18 lokasi tumpuan untuk menangani penyalahgunaan dadah di negeri ini.-UTUSAN ONLINE