Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk S. Dev Kumar berkata, serbuan tersebut melibatkan 26 jualan loteri haram dan 21 judi siber.

Katanya, operasi itu dijalankan pasukan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan daerah-daerah.

“Usaha menghapuskan judi atas talian diteruskan dengan menyerbu kedai serbaneka 24 jam dan kedai kopi menawarkan perkhidmatan isian semula judi siber.

“Sebanyak 21 serbuan dijalankan di Kuching, Kota Samarahan, Bintulu, Sarikei, Betong, Lubok Antu dan Meradong berjaya menangkap 24 operator perkhidmatan itu di samping merampas 27 telefon bimbit bersama wang tunai RM11,719,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 26 lagi serbuan membabitkan kaunter jualan loteri haram di 11 daerah yang membaea tangkapan 30 individu dan merampas wang tunai RM11,266 bersama peralatan lain.

“Semalam, beberapa pasukan dari JSJ IPK diketuai Inspektor Rustam Morat menjalankan tujuh serbuan serentak di kaunter loteri haram dan perkhidmatan isian semula judi siber di Lubok Antu.

“Lapan individu ditahan dan wang tunai RM7,923 dirampas bersama telefon bimbit, pencetak mobil, kalkukator, slip taruhan dan peralatan tulis,” ujarnya.

Dev Kumar berkata, beberapa pasukan JSJ IPK diketuai Asisten Superintenden Rudy Garut telah menjalankan 10 serbuan serentak di empat kaunter loteri haram dan enam perkhidmatan isian semula judi siber di Sarikei pada 28 Februari lalu.

“Tujuh individu ditahan dan RM8,528 dirampas. Keseluruhannya, 54 individu ditangkap terdiri 33 lelaki dan 21 perempuan berusia antara 19 hingga 64 tahun yang mana lima warga asing.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - UTUSAN ONLINE