Dalam kejadian kira-kira pukul 4.10 pagi itu, sepasang suami isteri bersama tiga anak mereka telah diikat perompak tiga perompak bersenjatakan parang menggunakan kabel wayar, besi penyidai baju dan tuala mandi.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden, Aswandy Anis berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek memasuki rumah keluarga berkenaan ketika mereka sedang nyenyak tidur.

Katanya, sebelum memasuki kediaman dan merompak mangsa, penjenayah terbabit telah memotong besi tingkap belakang rumah yang dijadikan kedai minum.

"Lima sekeluarga itu kemudian diikat tangan oleh perompak sebelum diminta menyerahkan wang tunai dan barang berharga.

"Penjenayah kemudian melarikan diri bersama wang tunai berjumlah RM400, empat telefon bimbit, dua tabung duit siling, kad pengenalan, lesen memandu dan sebuah kereta Perodua Myvi milik mangsa," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aswandy memberitahu, kesemua ahli keluarga terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, namun masih trauma akibat diikat ketika suspek menggeledah rumah mereka.

Katanya, buat masa ini polis masih giat memburu ketiga-tiga suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata.