Kesemua suspek berumur 40 hingga lingkungan 60-an itu kemudian diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, kelima-lima suspek telah membawa keluar tiga ekor kerbau bernilai kira-kira RM15,000 namun usaha mereka gagal setelah lori dinaiki terkandas dalam lumpur ketika cuba melarikan diri.

Ketika itu, mereka turut menggunakan jentolak untuk menarik keluar lori yang tersekat itu tetapi berjaya dipatahkan orang awam sebelum kesemua suspek ditangkap.

Dalam pada itu, pemilik kerbau itu, Ibrahim Ismail, 47, berkata, dia menyedari ternakannya dicuri setelah dimaklumkan penduduk kampung yang terdengar bunyi bising jentolak.

“Apabila ditanya penduduk kampung, suspek mendakwa haiwan itu milik mereka namun setelah digertak akan laporkan kepada polis, akhirnya mereka mengaku mencuri kerbau-kerbau tersebut,” katanya.

Menurutnya, tiga kerbaunya yang setiap seekor bernilai RM5,000 dipercayai untuk dijual kepada dua pembeli dari Jerteh yang merupakan antara lima suspek ditangkap semalam.

Ibrahim juga mengadu pernah mengalami kerugian lebih RM100,000 apabila 30 ekor kerbaunya dicuri tahun lalu.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner (ACP) Fazlisyam Abdul Majid mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu. - UTUSAN ONLINE