SFC dalam satu kenyataan memberitahu, siasatan dan serbuan itu dilakukan selepas pihak­nya me­nerima aduan tentang aktiviti pembalakan haram di lokasi tersebut daripada orang awam.

Kata kenyataan itu, hasil serbuan berjaya menyelamatkan 442 batang kayu balak yang dipercayai ditebang tanpa permit daripada Jabatan Hutan Sarawak (JHS).

“Dalam serbuan itu, polis turut menahan lima suspek dan merampas dua bot panjang,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, pasukan penguatkuasa pada mulanya hanya menemukan 401 batang kayu balak yang telah dijadikan rakit dan dilabuhkan di tebing sungai Nanga Dap untuk tujuan ditarik ke lokasi lain.

Bagaimanapun katanya, keputusan pasukan tersebut menunggu dan mengintai untuk lebih lima jam kemudian mendatangkan hasil apabila lima individu yang menggunakan dua bot tiba-tiba muncul untuk menjatuhkan 41 lagi batang balak lain untuk dijadikan sebagai rakit.

Katanya, kesemua suspek berjaya ditangkap dan gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk membuktikan pemilikan sah kayu balak tersebut.

“Siasatan awal mendapati, kayu balak tersebut tidak mempunyai sebarang tanda rasmi dan dipercayai telah diambil secara haram,” jelas kenyataan itu.