Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, kesemua mereka kini ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

Menurutnya, pihak polis turut giat memburu beberapa dalang judi yang kini menyembunyikan diri bagi mengelak daripada diambil tindakan.

“Semalam saya juga me­ngadakan mesyuarat dengan Kontinjen Selangor bagi membuat penilaian dari segi siasatan serta tindakan terhadap kegiatan yang berlaku di Selangor. Ada beberapa dalang yang sudah diambil tindakan.

“Masih terdapat dalang yang kami sedang siasat dan akan diambil tindakan sewajarnya dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sam­butan Hari Deepavali Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Noor Rashid, pihaknya mengesan sin­diket terbabit menggunakan modus operandi terbaharu dengan me­nawarkan aktiviti judi haram melalui dalam talian kepada orang ramai menggunakan gajet seper­ti tablet serta telefon pintar bagi mengelakkan kegia­t­an dihidu pihak ber­kuasa.

“Kita akan pastikan premis-premis judi haram ditutup sebelum memberi fo­kus kepada taktik baharu ini.

“Tindakan tegas akan dikenakan kepada sesiapa sahaja yang didapati terlibat dengan ke­giatan perjudian terma­suklah pe­milik premis. Ada juga pihak didapati menyalahgunakan lesen yang hanya dibenar untuk perniagaan hiburan, namun turut menjalankan kegiatan perjudian secara haram,” katanya.

Tambah Noor Rashid, ke­semua individu terbabit akan diambil tindakan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953, POCA serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sementara itu menurut beliau, polis sedang menyiasat kemungkinan penglibatan syarikat telekomunikasi berhubung dakwaan kebocoran data peri­badi kira-kira 46.2 juta pelangga­n nombor te­lefon mudah alih di negara ini.

“Pihaknya per­lu mendapatkan­ maklumat daripada syarikat-sya­­rikat telekomunikasi serta Su­ruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung perkara itu.

“Kita akan pergi ke SKMM serta syarikat telekomunikasi yang terlibat bagi menyiasat dakwaan tersebut,” katanya.

Tambahnya, siasatan lanjut sedang dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan segala kemungkinan yang ada akan diteliti termasuk pengli­batan syarikat-syarikat telekomunikasi,” katanya.

Yang turut hadir Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Zulkifli Abdullah; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Amar Singh Ishar Singh dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim.