Dalam serbuan pertama kira-kira pukul 12 tengah hari semalam, bertindak atas maklumat orang ramai, sepasukan anggota daripada jabatan narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan telah menyerbu sebuah rumah di Kampung Siput, Meranti, Pasir Mas dekat sini.

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, hasil serbuan tersebut, pasukan itu telah menemukan sebanyak 2,000 paket plastik cerah yang diikat dengan gelang getah di atas lantai rumah tersebut.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati di dalam plastik tersebut mengandungi daun ketum yang dianggarkan bernilai RM13,500.

"Ketika serbuan dilakukan terdapat tiga lelaki yang dikatakan sedang 'menjaga' paket-paket berkenaan. Dua daripadanya yang berusia 20 dan 21 tahun didapati positif methamphetamine manakala rakan yang berumur 41 tahun, negatif dadah. Kesemua mereka ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.

"Hasil siasatan kita mendapati daun-daun ketum ini didapati dari dalam negeri ini dan dikatakan untuk pasaran di negara jiran, kes ini disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum mengikut akta yang sama membawa kepada hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Hasanuddin berkata, dalam kes kedua, pihaknya merampas 2,000 biji pil Yaba dan menahan dua lelaki berusia 24 tahun di tepi jalan, di Jalan Sultanah Zainab di sini kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Beliau berkata, tangkapan itu dibuat selepas anggotanya membuat pemerhatian selama lima minit ke atas dua lelaki yang berada dalam mencurigakan di tepi jalan tersebut.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan membawa kepada penemuan sebungkus plastik kuning yang didalamnya terdapat satu balutan kekuningan yang di dalamnya mengandungi paket-paket plastik warna biru berisi pil kemerahan dan kehijauan disyaki dadah.

"Pil-pil tersebut dianggarakan bernilai RM40,000 dan suspek mengakui dadah tersebut diperoleh daripada pengedar tempatan di kawasan Panji di sini dalam bentuk satu tongkol serta untuk diedarkan di kawasan daerah ini," katanya.

Tambahnya, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE