Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintenden Dr. Che Ghazali Che Awang berkata, seramai 42 individu membuat laporan polis terhadap seorang wanita yang menawarkan dua pakej pembinaan rumah banglo berharga RM40,000 dan RM50,000 dengan tempoh perjanjian selama setahun setengah pada Februari 2016.

“Kesemua pengadu yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 60-an membuat laporan selepas merasakan mereka ditipu syarikat berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal kami percaya terdapat 50 individu yang menjadi mangsa penipuan di daerah ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Che Ghazali memberitahu, pihaknya menyoal siasat dua pengarah Juta Kelulut Global Resources yang ditahan reman selama dua hari di Jitra Kubang Pasu sejak semalam bagi membantu siasatan kes penipuan membabitkan kerugian hampir RM2 juta.

“Siasatan terhadap dua suspek tersebut termasuk wanita bergelar Datuk dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.