Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, jumlah tersebut meningkat sebanyak 12 orang berbanding 30 orang yang ditahan seperti yang didedahkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Menurut beliau, polis masih memburu mereka terlibat dalam kejadian tersebut selain ber­usaha sedaya upaya memulihkan keadaan selepas kekacauan yang berlaku di kawasan itu.

“Saya nak maklumkan bahawa keadaan di sekitar kuil tersebut kini hampir pulih sepenuhnya. Walaupun masih terdapat kira-kira 25 hingga 30 individu berkumpul pada tengah hari semalam, namun tiada kejadian tiada apa-apa berlaku,” katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis, di sini hari ini.

Menurut Mohamad Fuzi, pihaknya berharap semua pihak dapat mengawal emosi dan sentimen masing-masing agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mewujudkan suasana tegang.

Sementara itu, beliau mengesahkan polis menahan pengendali blog Papa Gomo berikutan kenyataannya yang didakwa berbaur hasutan.

Menurut beliau, penahanan itu bagi membolehkan siasatan dijalankan membabitkan satu video yang dikeluarkan di blog Papa Gomo kerana cuba menaikkan sentimen orang ramai berkaitan isu perkauman.

Difahamkan, Papa Gomo yang menggunakan akaun media sosial Facebook Sir Azri telah memuat naik satu video bertajuk Ini Tanah Melayu kelmarin yang telah ditonton lebih 300,000 dan dikongsi kira-kira 10,000 pengguna.