Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, bagi kes pertama, Perhilitan Negeri Sembilan menahan seorang lelaki selepas menemui bangkai seekor haiwan disyaki lotong, dua bangkai haiwan dipercayai kera dan dua bungkusan disyaki mengandungi daging babi hutan di premis kediamannya, di Jalan Tampin-Dioh, Kuala Pilah semalam.

“Bagi kes kedua, Perhilitan Kedah menyerbu sebuah premis kediaman di Lubuk Merbau, Pendang dan menahan seorang lelaki berikutan penemuan seekor haiwan disyaki kucing batu yang dikurung di dalam sebuah sangkar di situ, semalam.

“Selain itu, kelmarin, Perhilitan Pahang menahan sepasang lelaki dan wanita warga asing selepas menemui 29 bangkai haiwan disyaki ayam hutan yang telah dilapah dan seekor haiwan disyaki ayam hutan jantan yang masih hidup di kediaman mereka di Kampung Karak Setia, Karak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, kesemua hidupan liar terbabit disita dan dibawa ke pejabat Perhilitan untuk siasatan lanjut. - UTUSAN ONLINE