Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, keempat-empat kes itu melibatkan Macau Scam; Parcel Scam, pinjaman wang tidak wujud dan penipuan belian online.

Menurutnya, dalam kes pertama, seorang kerani kilang berusia 32 tahun ditipu sindiket Macau Scam selepas menuruti arahan yang diberikan menerusi telefon bimbit oleh ahli sindiket ketika berada di bank.

Kes kedua pula, tambah beliau, melibatkan seorang pengawal keselamatan yang ditipu sindiket pinjaman tidak wujud membabitkan kerugian RM1,160.

“Pengawal keselamatan berkenaan membuat transaksi itu kerana mahu mendapatkan pinjaman sebanyak RM10,000 selepas melihat iklan di dalam Facebook,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Noorzainy, kes ketiga membabitkan seorang pereka grafik berusia 28 tahun yang ditipu sindiket Parcel Scam apabila membuat transaksi bagi mendapatkan kiriman barangan yang kononnya ditahan di Jabatan Kastam Diraja yang dipercayai tidak wujud.

Beliau berkata, kes keempat pula membabitkan seorang peniaga wanita berusia 49 tahun yang membuat transaksi sebanyak RM1,300 ke dalam akaun RHB Bank milik suspek bagi pembelian sebuah telefon jenis iPhone XS Max.

“Bagaimanapun, setelah pembayaran dibuat mangsa mendapati taliannya telah disekat dan suspek iaitu seorang wanita gagal dihubungi,” katanya.

Noorzainy berkata, kesemua pindahan wang itu dibuat mangsa melibatkan enam transaksi ke dalam lima akaun bank berbeza dipercayai milik warga tempatan.

Sehubungan itu, tambah beliau, pihaknya kini sedang mengesan suspek terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - UTUSAN ONLINE