Kesemua lelaki tempatan berusia 17 tahun hingga 56 tahun itu ditahan di sekitar Besut semalam.

Tangkapan pertama membabitkan dua lelaki di gerai menjual ikan di Kampung Lampu, Besut pukul 11 pagi.

Dua lagi rakan mereka masing-masing ditahan ketika datang ke Pejabat Taman Laut Besut pukul 12 tengahari dan di sebuah rumah di Kampung Air Tawar, Besut pukul 2 petang.

Manakala dua lagi rakan mereka yang turut terbabit dalam kejadian itu sedang diburu pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, kejadian letupan itu merupakan pertama kali berlaku di perairan negeri ini terutama melibatkan Taman Laut.

Berikutan kejadian itu, dianggarkan 500 ekor ikan mati akibat kesan letupan manakala terumbu karang di kawasan sekitar selamat.

“Kita dimaklumkan letupan berlaku pukul 11 pagi, 13 Mei lalu dan berdasarkan laporan yang dibuat pihak resort di situ, mereka dengar tiga letupan.

“Berikutan itu, Jabatan Perikanan bersama Taman Laut segera ke lokasi dan mendapati banyak ikan mati dipercayai akibat letupan sebagaimana didakwa,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 26(1)(a) Akta Perikanan yang memperuntukkan denda maksimum RM20,000 atau dua tahun penjara.

Zawawi berkata, pihaknya akan meningkatkan rondaan dari semasa ke semasa di dua kawasan taman laut di Pulau Perhentian dan Pulau Redang bagi mengelak kejadian serupa berulang.

Pada masa ini, katanya, dua bot bersama lapan hingga 20 anggota ditugaskan menjalankan rondaan di dua kawasan taman laut berkenaan.

“Kita tak cadang tambah kekuatan anggota dan bot tapi kita akan lakukan kekerapan rondaan di kawasan terbabit selepas ini,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE