Difahamkan, dua daripada ditahan itu juga disyaki anggota kumpulan Royal Sulu Force (RSF) yang terlibat dalam serangan di Lahad Datu dan Semporna pada tahun 2013 di Semporna, Sabah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kesemua mereka ditahan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Cawangan Khas Ibu pejabat Polis Kontinjen Sabah dan Unit 69 Komando.

"Tangkapan pertama pada 11 Mac lalu di Semporna melibatkan lima lelaki warganegara Filipina dan seorang rakyat Malaysia yang berusia lingkungan 40 hingga 60 tahun.

"Tangkapan kedua dilakukan pada hari sama di Tambunan, Sabah melibatkan lima lelaki serta seorang wanita dan kesemuanya merupakan warganegara Filipina yang berusia lingkungan antara 23 hingga 63 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamad Fuzi, satu lagi tangkapan dibuat di Tambunan, Sabah pada keesokan hari melibatkan seorang lelaki berusia 39 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan.

Jelasnya, kesemua yang ditahan disyaki terlibat menganggotai beberapa kumpulan seperti Abu Sayyaf Group (ASG), Kumpulan Pengganas Maute dan RSF.

Ujarnya, mereka juga ditahan kerana terlibat dalam memberi perlindungan kepada elemen-elemen pengganas asing yang bersembunyi di Sabah.

"Menerusi tangkapan ini, kita yakin dapat mengesan dan memburu saki-baki anggota kumpulan ASF dan kumpulan pengganas Maute yang masih bersembunyi dalam negara khususnya di Sabah," katanya.

Tambahnya, kesemua yang ditangkap disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA- Kesalahan Berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). - UTUSAN ONLINE