Mohd Haki Hasbullah
MOHD. HAKI

Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Mohd. Haki Hasbullah berkata, keempat-empat suspek berusia 26 hingga 32 tahun itu diberkas ketika memecah masuk sebuah premis sarang burung itu di Kampung Pasir Gajah, di sini.

“Kira-kira pukul 6.45 pagi semalam, sepasukan polis dari Balai Polis Pasir Gajah bergegas ke tempat kejadian sejurus mendapat maklumat daripada pemilik bangunan sarang burung tersebut.

“Dalam kejadian pukul 3.10 pagi, pemilik sarang burung walit, Ng Kim Sian, 44, yang berada di Taman Sunway Utama, Petaling Jaya, Selangor telah melihat (melalui telefon bimbit) rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bangunan sarang burung walitnya.

"Ketika itu Kim Sian ternampak dua lelaki sedang mengalih CCTV dan dia mengesyaki ada orang masuk untuk mencuri sarang burung miliknya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini..

Jelasnya, pada pukul 3.30 pagi Kim Sian telah menghubungi Balai Polis Pasir Gajah memaklum kejadian tersebut dan 15 minit kemudian Kim Sian berlepas dari Petaling Jaya menuju ke Kemaman.

Menurutnya, lebih kurang pukul 6.45 pagi Kim Sian membawa anggota polis memasuki bangunan sarang burung tersebut dan berjaya menahan empat orang lelaki yang telah masuk ke dalam bangunan tersebut.

"Setelah pemeriksaan dibuat didapati penjenayah telah bertindak memotong pagar bangunan tersebut sebelum ceroboh," katanya.

Tambah Mohd. Haki, pihaknya turut merampas satu plastik sarang burung walit dan peralatan antaranya tiga batang pemutar skru, dua batang scraper galah, dua gulung tali panjang bersama cangkuk besi serta dua spanar boleh laras dan 15 mercun bola yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Turut dirampas, enam unit telefon bimbit dan sebuah kereta Proton Saga warna hitam berserta kunci. Hasil ujian air kencing didapati kesemua suspek yang berasal dari Besut, Terengganu itu positif Methamphetamin,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam hingga 3 Mac depan. - UTUSAN ONLINE