Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, penjawat awam bersama tiga rakannya berusia 34 hingga 47 tahun ditahan oleh sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang di sebuah rumah tidak bernombor.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Arriz Sham Hamezah berkata, pihaknya menemukan sembilan paket plastik lutsinar dipercayai berisi heroin, lapan paket syabu, sepaket ganja dan straw yang mengandungi 10 biji pil kuda selepas menahan suspek di sebuah pondok kayu.

“Operasi tersebut dilakukan berdasarkan maklumat awam dan risikan berhubung pengedaran dadah di kawasan itu dan polis berjaya merampas dadah bernilai lebih RM2,700 seperti heroin seberat 41.04 gram bernilai RM1,231, syabu 8.9 gram (RM1,335), 10 biji pil kuda (RM150) dan ganja 0.5 gram (RM17.50),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga menemukan botol kaca yang diubahsuai untuk menghisap dadah, sebilah gunting besi, pemetik api, dan alat penimbang digital, serta tujuh paket plastik lutsinar kosong yang disyaki digunakan untuk membungkus dadah.

“Kita percaya dadah yang dirampas adalah untuk dibungkus semula sebelum diedarkan secara kecil-kecilan di sekitar daerah ini dan daerah berhampiran,” jelasnya.

Arriz Sham memberitahu, berdasarkan semakan rekod lampau, pihaknya turut mengenal pasti dua daripada empat suspek itu mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah.

“Semua yang ditahan dibawa ke IPD Pendang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE