Berikutan itu, empat lelaki ditahan pukul 1 pagi ini bagi membantu siasatan kes berke­naan sebelum mereka yang berusia 21 hingga 55 tahun dibebaskan tiga jam kemudian.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, justeru masyarakat dilarang membuat sebarang spekulasi atau komen negatif berkenaan insiden itu kerana hanya akan menyebabkan suasana tidak harmoni.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, ketika ini keada­an adalah terkawal, namun pihaknya tetap memantau perkembangan dan reaksi kes itu dalam media sosial.

“Jika ada yang boleh menyebabkan keadaan panas, kita boleh ambil tindakan terhadap mereka mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia atau Akta Hasutan.

“Polis telah mengadakan pertemuan dengan pihak terlibat iaitu pemandu dan wakil surau berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Sukan dan Pasar Ria di Ibu pejabat Polis Konti­njen (IPK) Johor di sini hari ini.

Semalam, tular video beberapa jemaah memukul seorang pemandu di hadapan surau taman tersebut kerana mendakwa pemandu itu se­ngaja membunyikan hon semasa jemaah sedang menunaikan solat Jumaat.

Wan Ahmad Najmuddin mengingatkan orang ramai agar tidak memburukkan keadaan sebaliknya menyerahkan kes tersebut sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.