Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, kejadian berlaku pukul 3 petang selepas empat pemuda terbabit yang dipercayai mabuk mencabar orang ramai di pusat hiburan itu bergaduh.

Katanya, seorang lelaki yang berang melihat kumpulan lelaki berkenaan kemudian bertindak balas menyebabkan berlaku pergaduhan sehingga mengakibatkan kesemua mereka mengalami kecederaan.

"Pada pukul 3.30 petang, pihak polis telah menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan berlaku pergaduhan di kawasan Travillion.

"Empat lelaki berusia 18 hingga 31 tahun telah cedera dan menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS)," katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada suspek dipercayai mabuk dan menunjukkan senjata tajam kepada orang di luar pusat hiburan itu untuk diajak bergaduh.

Katanya, senjata yang digunakan dipercayai sebilah pisau lipat.

Tambahnya, bertindak atas maklumat, pihak polis telah menangkap suspek iaitu seorang lelaki berusia 24 tahun untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Suspek turut cedera dalam pergaduhan ini di bahagian kepala," katanya. - UTUSAN ONLINE