Pemangku Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 40 tahun diberkas di lokasi berasingan di sekitar Kuala Krai bermula pukul 10 malam tadi hingga 4 pagi ini.

“Keempat-empat suspek yang merupakan penduduk tempatan dan bekerja kampung direman tujuh hari bermula hari ini,” katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kota Bharu di Ibu Pejabat Polis daerah di sini hari ini.

Serah terima tugas itu melibatkan Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik sebagai Ketua Polis daerah baharu menggantikan Asisten Komisioner Baharom Abu yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pulau Pinang.

Semalam, seorang wanita warga emas, Rokiah Mamat, 61, ditemukan terbaring di dapur rumahnya dalam keadaan berlumuran darah pada badan dan kepala dipercayai akibat ditikam dalam satu kejadian samun.

Mayat mangsa dijumpai anaknya yang merupakan seorang guru selepas mendapati pagar dan pintu rumah terbuka selain ibunya tidak keluar dari rumah seperti biasa walaupun hon kereta dibunyikan beberapa kali.

Mengulas lanjut kes tersebut, Din memberitahu, berdasarkan siasatan, mangsa ditikam seba­nyak enam kali di bahagian belakang badan dan kepala oleh suspek menggunakan senjata tajam.

“Kita percaya kejadian ini tidak dilakukan bersendirian, sebalik­nya oleh sekumpulan suspek yang memecah masuk rumah mangsa melalui pintu belakang. Suspek juga hanya sempat melarikan wang tunai sebanyak RM200 daripada rumah mangsa.

“Senjata digunakan untuk membunuh mangsa masih belum ditemukan,” ujarnya.

Katanya, polis telah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes tersebt secara menyeluruh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.