Kesemua suspek ditahan polis di Jalan Mariamah dan Jalan Undan 9, Taman Perling di sini semalam kurang 24 jam selepas menyamun lelaki warga asing itu pukul 11.25 malam kelmarin.

Suspek lelaki pertama berusia 38 tahun beralamat di Jalan Petrie 6 di sini, suspek lelaki kedua, 41, dan ketiga, 42, masing-masing dari Kampung Melayu Majidee di sini dan suspek wanita, 31, dari SHah Alam Selangor.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurnain Jais berkata, antara barang yang dirampas dua topi beserta lambang polis; sebuah topi dengan lambang penjara Malaysia dan dua keping kad pas berlambang logo Penjara Malaysia.

"Ini termasuk sehelai vest keselamatan tertulis perkataan Unit Keselamatan SUKJ. Selain itu dua buah lampu beacon berwarna biru, sehelai seluar panjang celoreng askar dan sepasang sarung tangan warna hitam tertulis perkataan antmanunion.

"Begitu juga dirampas kereta jenis Kia Spectra, sebilah pisau panjang 14 inci dan sebatang besi paip panjang 64 sentimeter," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Katanya, turut ditemukan 13 telefon bimbit, tiga utas jam tangan, seutas rantai kuning, dua kad ATM, dua keping salinan pasport dan wang tunai mata wang negara Bahrain dan Indonesia.

Soal siasat awal yang dijalankan katanya, suspek mengaku menjalankan kegiatan samun serta menyamar sebagai pasukan keselamatan di daerah Johor Bahru Selatan membabitkan 12 kes.

"Modus operandi kumpulan ini adalah dengan mensasarkan golongan warganegara asing dan perempuan Melayu sebagai mangsa serta bergiat aktif sejak 2016 sehingga kini," ujarnya.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada empat suspek positif dadah jenis methapetamin, mereka direman sehingga 10 Februari ini bagi membantu siasatan.

Shahurnain memberitahu, semua suspek lelaki berkenaan mempunyai rekod berkaitan lampau berkaitan dadah dan kempat-empat suspek tidak mempunyai pekerjaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan yang mana penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan, katanya.

Beliau berkata, kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam yang boleh dihukum penjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya. - UTUSAN ONLINE