Kesemua lelaki warga Filipina berusia lingkungan 30 hingga 40-an itu dipercayai menjadikan kawasan perairan Sandakan, Sabah sebagai tempat transit sebelum menyusup masuk ke negara tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya memandangkan kes ber­kenaan masih dalam siasatan.

“Mereka yang ditahan merupakan rakyat negara jiran. Mereka menggunakan Sandakan sebagai transit untuk ke selatan Filipina,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Cegah Jenayah Ragut dan Seluk Saku di Pavilion, Bukit Bintang di sini hari ini. Turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim.

Beliau berkata, kesemua warga asing itu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi memaklumkan PDRM akan terus meningkatkan kerjasama dengan masyarakat khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha mengurangkan kadar jenayah jalanan seperti ragut dan seluk saku.

“Indeks Jenayah di seluruh ne­gara menunjukkan kadar penurunan sebanyak 13.5 peratus sepanjang tahun ini. Hampir kesemua negeri menunjukkan kadar jenayah rendah kecuali di Sabah terdapat sedikit peningkatan.

“Justeru, jalinan kerjasama PDRM dan NGO akan diteruskan dan amat penting dalam memastikan masyarakat sentiasa berasa selamat dan sekali gus mengurangkan kebimbangan ketika berada di pusat bandar,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, pelbagai pendekatan diambil PDRM terma­suk menempatkan anggota di 16 kawasan yang dikenal pasti kawasan tumpuan jenayah jalanan.

“Kita mendapati 16 kawasan terbabit meliputi kawasan tum­puan pelancong dan Lembah Klang seperti Bukit Bintang serta Jalan Imbi,” ujarnya.