Ketua Siasatan Jenayah negeri, Datuk S. Dev Kumar berkata, gadis dan dua suspek berusia 24 dan 26 tahun yang positif syabu itu ditangkap di sebuah inap desa di Kota Sentosa di sini, 8.30 malam tadi.

Menurutnya, dalam kes pertama di Kota Sentosa kelmarin, dua suspek bertopi keledar dan bersenjatakan pedang samurai serta batang kayu menyamun RM600 dari kedai serbaneka 24 jam sebelum melarikan diri dengan kereta Proton Saga.

“Keesokannya, suspek me­lakukan tiga lagi kes samun iaitu dua di kedai serbaneka 24 jam di MTLD, Kota Samarahan dan Stutong serta merompak seorang jurukimpal berusia 18 tahun yang menunggang motosikal di Ku­ching-Samarahan Expressway.

“Di Kota Samarahan, suspek melarikan wang RM835 dan beberapa kartun rokok; wang tunai dan rokok bernilai RM1,500 (Stutong); dan wang RM16, telefon bimbit serta dokumen pengenalan mangsa (Kuching-Samarahan Expressway),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ujar Dev Kumar, penahanan itu membawa penemuan sebuah kereta Proton Saga yang dilaporkan dicuri di Stutong dan rampasan wang tunai RM2,935, pedang samurai, kayu, dua topi keledar, dua pasang sarung tangan, rokok, pemetik api dan telefon bimbit.

Sementara itu, Majistret Zubaidah Sharkawi membenarkan ketiga-tiga suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini.