Kejadian pukul 6 petang itu berlaku apabila pihak polis menerima maklumat tiga penjenayah tersebut menaiki sebuah kereta Suzuki Swift di Bandar Baru Selayang yang memecut laju selepas diarahkan untuk berhenti.

Berikutan itu, dua Unit Kereta Peronda (MPV) polis bertindak mengejar kenderaan yang dinaiki suspek berusia 30 hingga 40 itu hampir 30 minit sejauh 10 kilo­meter.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kenderaan suspek kemudiannya diberhentikan sebelum salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan ke arah polis.

“Bimbang nyawa anggota polis terancam, kita terpaksa melepaskan beberapa das tembakan dan mengenai ketiga-tiga suspek yang belum dikenalpasti identitinya.

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan suspek me­nemukan pistol jenis Barreta 0.22, empat butir peluru, dua bilah parang dan beberapa barangan peribadi suspek,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Fadzil, mayat suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat bagi proses pengecaman.

Ujarnya, pihaknya masih lagi menyiasat sekiranya terdapat saki baki suspek dalam kumpulan ini dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana melakukan percubaan membunuh.