Dalam serbuan pukul 1 pagi itu, tiga lelaki berusia 33 hingga 42 tahun ditahan bersama rampasan air ketum bernilai RM3,700.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Said Ibrahim berkata, setiap botol yang dirampas mengandungi 350ml (mililiter) air daun ketum yang diletakkan dalam dua tong sejuk beku.

Tong sejuk beku pertama berwarna jingga dan bertudung jingga itu mengandungi 260 botol berwarna cerah bertudung putih, di dalam setiap botol berisi cecair berwarna hijau disyaki air ketum.

Menurutnya, polis turut merampas tong sejuk beku kedua berwarna biru bertudung hijau yang mengandungi 110 botol berwarna cerah bertudung putih, di dalam setiap satu botol berisi cecair berwarna hijau disyaki air ketum.

“Air ketum yang telah diproses dalam kuantiti yang besar ini dipercayai dijual untuk pasaran Kemaman dan Dungun.

“Hasil ujian saringan awal yang dijalankan mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Ujar Mohd. Said, hasil siasatan mendapati suspek aktif melakukan kegiatan itu sejak enam bulan lalu dan bekalan diperolehi dari luar daerah ini.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM10,000 atau penjara empat tahun atau kedua-duanya sekali.

“Suspek ditahan reman empat hari bermula hari ini dan berakhir 19 Mei depan untuk siasatan lanjut. - UTUSAN ONLINE