Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Saw Boon Kee, 34; Kuan Hsieng Sieng, 38, dan Chin Gia Lin, 47, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan pertama, ketiga-tiga tertuduh didakwa secara bersama mengedar 62,543 gram `methamphetamine' di bahagian dapur sebuah rumah di Taman Belia Antarabangsa, Ayer Keroh di sini pada pukul 4 petang pada 3 Mac lalu.

Bagi pertuduhan kedua, kesemua mereka didakwa mengedar dadah jenis sama berjumlah 138,778 gram di dalam stor bawah tangga pada masa, tarikh dan di lokasi yang sama.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Tiada jaminan dibenarkan ke atas ketiga-tiga tertuduh dan tarikh 23 April ini ditetapkan untuk serahan laporan kimia. - UTUSAN ONLINE