Majistret Mohd. Dinie Shaz­wan Ab. Shukor menetapkan jaminan RM100,000 masing-ma­sing terhadap Ketua Eksekutif berusia 58 tahun itu dan Setia­usaha PTPK berumur 34 tahun.

Seorang lagi individu yang merupakan pengarah syarikat berusia 38 tahun dan mempunyai gelaran doktor dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM28,000.

Selain ketiga-tiga lelaki itu, turut direman adalah penolong pengurus kewangan, 32, namun dia dilepaskan daripada tahanan reman semalam.

Keempat-empat individu itu sebelum ini direman sejak 14 September lalu mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 bagi membantu siasatan penyelewengan dana RM40 juta untuk tujuan program latihan.

Pada minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan tiga pe­gawai PTPK dan seorang pe­ngarah syarikat disyaki terlibat menyalahgunakan kedudukan dan menyeleweng wang peruntukan program latihan kemahiran bagi mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.

Siasatan awal SPRM mendapati pada tahun 2016, salah seorang suspek disyaki menyeleweng sebanyak RM15 juta manakala RM25 juta pula pada tahun ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan RM40 juta.

Menurut sumber SPRM, ke­­­rajaan memperuntukkan RM40 juta untuk tahun ini kepada perbadanan itu bagi mengendalikan program-program latihan manakala pada tahun 2016, sejumlah RM35 juta turut diperuntukkan.