Dalam tangkapan itu, antara yang dirampas ialah lebih enam metrik tan campuran ikan dan sotong selain 2,000 liter diesel serta peralatan menangkap ikan.

Pengarah Maritim negeri, Kap­ten Maritim Rahim Ramli berkata, kesemua tiga bot tersebut ditahan antara pukul 12.30 tengah hari hingga 1.20 petang semalam termasuk 16 nelayan Vietnam berusia 19 hingga 58 tahun.

Menurutnya, mereka ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15 Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara dan Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama selain Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua bot itu ditahan berdekatan antara satu dengan lain iaitu antara 500 hingga 600 meter di mana bot pertama ditahan pada pukul 12.30 tengah hari di­ikuti bot kedua pada pukul 12.50 te­ngah hari dan ketiga pada pukul 1.20 petang.

“Hasil siasatan mendapati ke­semua nelayan Vietnam itu datang dari Kelantan dan dipercayai baru menceroboh perairan Terengganu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Daerah Maritim 9 negeri di sini hari ini.

Menurutnya, nelayan asing itu juga didapati menggunakan taktik memasang bendera Malaysia dan Kelantan pada bot mereka bagi mengaburi pihak berkuasa.

Rahim berkata, pihaknya percaya pencerobohan nelayan asing khususnya Vietnam ke perairan negeri ini didalangi ejen tempatan yang bertindak sebagai orang tengah.