Namun, hukuman yang diterima untuk kes sebelum ini seolah-olah tidak memberi pe­ngajaran kepada majikan lain dan jenayah itu masih berlaku dengan beberapa kes melibatkan orang kenamaan sebagai suspek.

Terbaharu, pada Jumaat lalu, tiga pembantu rumah warga Indonesia mendakwa ditumbuk dan dipukul di rumah majikan mereka yang bergelar Tan Sri dan Puan Sri di Country Heights, Kajang dekat sini.

Kerana tidak tahan diperlakukan sedemikian rupa, ketiga-tiga wanita itu melarikan diri dari rumah majikan mereka dengan cara memanjat pagar sebelum dibantu oleh seorang lelaki tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, lelaki itu kemudiannya telah membawa ketiga-tiga mangsa ke Kedutaan Indonesia bagi mendapatkan bantuan.

Ujarnya, satu laporan polis telah dibuat oleh pihak Kedutaan Indonesia di Balai Polis Tun HS Lee di sini berhubung dakwaan ketiga-tiga mangsa.

‘‘Hasil siasatan awal mendapati, ketiga-tiga mangsa yang masing-masing telah bekerja di rumah Tan Sri itu kira-kira tujuh tahun, empat tahun dan enam bulan telah diperlakukan de­ngan kasar.

‘‘Gaji mereka juga tidak dibayar selama bekerja di situ selain tidak dibenarkan pulang ke Indonesia kerana pasport mereka disimpan oleh majikan,’’ kata­nya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Dzaffir memberitahu, pihaknya telah melakukan pemeriksaan di rumah Tan Sri tersebut sebelum merampas dua pasport dan i-Card mangsa yang disimpan oleh setiausahanya.

Jelasnya, ketiga-tiga mangsa juga telah dihantar ke Klinik Kesihatan Kajang dekat sini namun hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga mereka tiada kecederaan fizikal, mental dan seksual.

‘‘Mereka kemudiannya dihantar ke rumah perlindungan setelah perintah perlindungan interim (IPO) diperoleh dari­pada Majistret Kajang. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,’’ katanya.