Pengarah Maritim Wilayah Timur, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata, bot berkenaan yang pertama dilupuskan tahun ini ditenggelamkan di lokasi kira-kira enam batu nautika dari Pulau Ular.

“Ini menjadikan jumlah bot asing yang telah ditengelamkan untuk dijadikan  tukun sejak  2006 di sekitar perairan pantai timur mencecah 297 buah,” katanya di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Pengkalan Maritim Kemaman, Lefternan Komander Maritim Muhmmad Rezal Kamal Bashah.

Menurut beliau, langkah ini bertujuan memyampaikan mesej kepada komuniti maritim tempatan dan antarabangsa bahawa kerajaan serius dalam soal keselamatan perairan negara dengan tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan.

Menurut beliau, sehingga kini masih terdapat 21 buah bot nelayan asing yang ditempatkan di jeti Pangkalan Maritim Kemaman tersebut sementara menunggu proses perbicaraan selesai.

 “Setelah didapati bersalah oleh mahkamah, bot yang dilucut hak seterusnya akan dilupuskan sebagai tukun di perairan negara,”ujarnya.

Katanya, kesemua bot yang masih ada akan dilupuskan mengikut kaedah itu secara berperingkat bagi membantu mewujudkan peranti pemuliharaan biodiversiti marin.

“Diharap dengan pelupusan bot dapat menambahkan lagi populasi ikan di perairan tersebut seterusnya dapat membantu meningkatkan hasil tangkapan nelayan tempatan,” ujar beliau.

 Tambah beliau lagi, dengan pelupusan bot- bot ini juga dapat mengurangkan kesesakan yang berlaku di jeti Pangkalan Maritim Kemaman yang mempunyai tempat yang terhad. - UTUSAN ONLINE