Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Daerah Kuala Selangor, K. Ramesh berkata, serbuan itu dilakukan oleh sepasukan lapan orang pegawai dan anggota kira-kira pukul 10.30 pagi hasil daripada maklumat orang ramai serta intipan yang dijalankan pihaknya sejak sebulan lalu.

"Premis tidak bernombor ini digunakan sebagai stor simpanan gas LPG. Semasa serbuan, kita menemukan 100 buah tong berisi LPG berkapasiti 14 kilogram (kg), 183 buah tong LPG 14 kg yang kosong serta 10 buah tong berisi LPG berkapasiti 12 kg.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM17,950," katanya di sini.

Tambah Ramesh, semasa serbuan dilakukan, pihaknya mendapati seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20an berada dalam premis terbabit selain mengaku bertanggungjawab ke atas kesemua tong LPG yang disimpan di situ.

"Bagaimanapun, dia gagal mengemukakan lesen urus niaga barang kawalan LPG bagi premis itu. Hasil pemeriksaan lanjut, lelaki terbabit turut mengaku bekalan LPG itu adalah untuk diedarkan kepada restoran dan kedai runcit di sekitar Ijok dan Bestari Jaya," jelasnya.

Menurut Ramesh, kes itu disiasat di bawah Seksyen 20 Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukan denda maksima RM1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi individu manakala denda maksima RM2 juta bagi syarikat jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE