Pengerusi Biro Undang-undang Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, jumlah itu hanya daripada mangsa pelaburan yang membuat aduan kepada PPIM manakala jumlah keseluruhan pelaburan daripada mangsa-mangsa lain mencecah RM9 juta.

Menurutnya, kedua-dua pentadbir syarikat itu menyasarkan golongan pesara sebagai mangsa dan mengaburi mata pelabur dengan menggunakan nama Yayasan Amanah Niaga Kebangsaan.

"Apabila mereka menggunakan nama yayasan, pelabur menjadi yakin bahawa syarikat pelaburan mereka tulen dan boleh dipercayai.

"Mereka kononnya akan memajakkan emas yang dilaburkan oleh mangsa dan akan mendapat pulangan setiap bulan. Malangnya,hanya beberapa bulan sahaja pelabur menikmati pulangan sebelum kedua-dua pengasas syarikat itu mendiamkan diri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir bersama beberapa mangsa pelaburan membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul,di sini hari ini.

Menurut Hishamuddin, akibat daripada penipuan pelaburan itu, kesemua mangsa kehilangan wag pencen yang sepatutnya dijadikan simpanan hari tua manakala dua pengasas tersebut hidup mewah.

"Terlalu banyak kepayahan yang saya dengar daripada mangsa-mangsa pelaburan ini. Jadi saya menggesa pihak polis menjalankan siasatan secara menyeluruh seterusnya membawa dalang sindiket ini ke muka pengadilan," ujarnya. - UTUSAN ONLINE