Dalam operasi bermula kira-kira pukul 11 pagi hingga 5 petang itu, sebanyak 27 tan kurma pelbagai jenama bernilai RM448,000 disita.

Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, syarikat tersebut yang menjadi pembekal dan pengimport kurma pelbagai jenama untuk kawasan utara didapati menggunakan tanda halal tanpa kebenaran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Alasan yang dikemukakan oleh pemilik syarikat ialah mereka tidak tahu logo halal ini perlu dimohon terlebih dahulu daripada Jakim.

“Sejak syarikat ini beroperasi tiga tahun lalu, pemiliknya didapati tidak pernah memohon logo halal daripada pihak Jakim,” katanya dalam sidang akhbar di gudang penyimpanan kurma itu di Bandar Perda, di sini hari ini.

Mohd. Ridzuan berkata, kesemua kotak kurma yang dijual dan diedarkan oleh syarikat berkenaan didapati mempunyai logo halal yang seolah-olah diperoleh daripada pihak Jakim.

“Premis ini telah melakukan kesalahan di bawah Perintah 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Jika sabit kesalahan, syarikat ini boleh didenda tidak melebihi RM250,000 manakala bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, tidak melebihi RM500,000,” katanya. - UTUSAN ONLINE