Malah, ketika ditahan, kumpulan seramai 26 orang itu yang menggelarkan diri mereka ‘Group Goyang Yuk’ itu sedang berdiri di ruang tamu dalam keadaan kha­yal.

Selain penuntut institusi pengajian tinggi, kumpulan itu turut disertai operator kilang, mekanik, petani, kelindan lori, penganggur dan peniaga.

Lebih mengejutkan, seramai lapan daripada mereka adalah remaja bawah umur yang terdiri daripada tiga lelaki berusia 17 tahun dan lima perempuan berumur 15 hingga 17 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, kesemua mereka yang berusia antara 15 hingga 26 tahun itu dicekup dalam satu serbuan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah SPT kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Menurutnya, kesemua suspek yang terdiri daripada 15 lelaki dan 11 perempuan itu sedang khayal akibat pengambilan dadah ketika pihaknya tiba di lokasi berkenaan.

“Hasil siasatan yang dijalankan, polis turut menjumpai 1.5 gram dadah dipercayai ketamin bernilai RM100, sebiji pil eramin 5 (RM45) dan sebiji pil disyaki dadah (RM35) daripada kumpulan itu.

“Ketika pemeriksaan fizikal dibuat, anggota polis turut menjumpai satu biji pil bertanda ‘S’ disyaki dadah di dalam poket seluar seorang suspek lelaki berusia 18 tahun namun tidak menemui pada suspek lain,” katanya ketika dihubu­ngi di sini hari ini.

Tambah Nik Ros Azhan, pemeriksaan di atas meja makan di ruang tamu pula me­nemukan tiga biji pil Eramin 5, dua peket berisi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin serta tiga pinggan plastik dan dua keratan penyedut minuman disyaki peralatan menghisap dadah.

Jelasnya, remaja perempuan bawah umur itu terdiri daripada pelajar tingkatan tiga dan empat serta tiga lagi di tingkatan lima manakala seorang daripada tiga remaja lelaki itu masih bersekolah dalam tingkatan lima dan dua lagi tidak bersekolah.

“Dua remaja lelaki lain yang berusia 18 dan 19 tahun merupakan penuntut peringkat diploma serta suspek lain yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuklah tidak bekerja.

“Hasil siasatan juga mendapati mereka memperoleh bekalan dadah itu daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Boss di kawasan Auto City, Juru yang diambil oleh salah seorang suspek,” ujarnya.

Hasil ujian air kencing terhadap kesemua yang ditahan turut mendapati mereka positif dadah jenis ketamin atau metamphetamin serta ada yang positif kedua-dua jenis dadah itu sekali.

Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.