Dalam operasi disertai 12 pegawai Jabatan Imigresen Perak antara pukul 2.30 hingga 7 petang, 14 wanita terdiri warga Thailand, Indonesia dan Laos berusia dalam lingkungan 21 hingga 43 tahun yang berkhidmat sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO), masing-masing ditahan di dalam bilik di sebuah hotel di sini kerana disyaki terlibat dengan kegiatan tidak bermoral.

Turut ditahan ialah empat lelaki warga Bangladesh dan seorang warga Nepal yang merupakan pelanggan kepada GRO berkenaan termasuk seorang majikan tempatan iaitu lelaki berusia 40-an.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Kamaluddin Ismail berkata, kesemua yang ditahan itu didapati melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen setelah pihaknya bertindak hasil maklumat orang awam serta risikan selama seminggu.

“Di hotel berkenaan, walaupun mereka mendakwa melakukan kerja-kerja mengurut, namun kita mengesyaki terdapat aktiviti tidak bermoral kerana kita turut menemukan kondom dan bahan pelincir di setiap bilik. 

“Malahan, ada bilik yang terpaksa kita buka secara paksa. Kebanyakan wanita warga Indonesia yang ditahan, mengaku bahawa mereka telah bercerai dan datang ke sini untuk mencari rezeki tetapi mereka menyalah guna pas lawatan dengan bekerja sebagai GRO,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Meru Raya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE