Mohd. Afandi Abu Bakar

Konsulat Jeneral Malaysia ke Songkhla, Thailand, Mohd. Afandi Abu Bakar berkata, selain dadah mereka juga ditahan bersabit kes penipuan kad kredit dan juga masalah dokumentasi.

Beliau berkata, rak­yat Malaysia dialu-alukan untuk berkunjung ke Thailand, namun diingatkan perlu sentiasa mematuhi undang-undang sedia ada untuk mengelak sebarang masalah.

“Kami yang mewakili kerajaan Malaysia di sini sentiasa membuka ruang untuk rakyat Malaysia mendapatkan sebarang informasi semasa berkunjung ke Thailand, terutamanya di daerah Songkhla.

“Kesalahan utama warga Malaysia yang ditahan di penjara di Thailand ialah melibatkan kes dadah dan diikuti kes penipuan kad kredit serta masalah dokumentasi,” katanya yang menguruskan menguruskan hal ehwal tahanan rakyat Malaysia di 14 wilayah di selatan Thailand.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan peserta program dua hala antara Kelab Keamanan Selatan Thailand (SPMC), Persatuan Media Selatan Thailand (STMA) bersama wartawan Malaysia di pejabatnya, baru-baru ini.

Menurut Mohd. Afandi, rakyat Malaysia yang berhasrat untuk melancong ke Thailand juga dinasihatkan untuk mengambil insu­rans bagi memudahkan segala urusan jika berlaku perkara yang tidak diingini.

“Saya juga ingin menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin memasuki Thailand agar menggunakan dokumen yang sah. Ini adalah penting bagi mengelak daripada ditahan oleh pihak berkuasa mereka.

“Seperti mana Malaysia, Thailand juga mengalu-alukan rakyat kita untuk melancong ke negara mereka. Namun perlu diingat segala peraturan yang ditetapkan perlu dipatuhi,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Mohd. Afandi turut mengucapkan tahniah kepada SPMC dan STMA kerana berjaya menganjurkan program tersebut dan mendedahkan lagi lokasi menarik di wilayah selatan Thailand kepada rakyat Malaysia.