Dijanjikan pekerjaan di Malaysia dan terpedaya dengan janji kehidupan yang lebih baik, kebanyakan pendatang daripada negara-negara miskin menjadikan Thailand sebagai ‘transit’ sebelum pergi ke Malaysia.

Bagaimanapun, sebelum sampai ke destinasi, impian mereka bertukar menjadi mimpi ngeri selepas ditahan dalam keadaan yang kotor dan penuh sesak di hutan selama berbulan-bulan, malah mungkin bertahun-tahun.

Mereka sering dipukul dan dibiarkan kelaparan sementara menunggu wang tebusan itu dijelaskan.

Thailand merupakan lokasi strategik untuk menahan mangsa ekoran keadaan pergunungan di kawasan pedalaman yang terletak di sepanjang pantai negara itu, kata seorang ekspatriat Bangladesh di Malaysia.

“Pergerakan pendatang asing adalah terbatas di Thailand sehingga wang tebusan dibayar sebelum mereka dihantar ke Malaysia. Sebelum ini, beberapa pencari kerja itu melarikan diri tanpa membayarnya,’’ katanya tanpa mahu dikenali sebagaimana lapor portal The Nation.

Sabtu lalu, pihak berkuasa Thailand menemukan 26 mayat mangsa pemerdagangan di sebuah kem tinggal di hutan dekat daerah Sadao di wilayah Songkhla.

Oktober tahun lalu, polis Thailand menyelamatkan 134 mangsa penyeludupan di sebuah ladang getah di selatan Thailand dengan BBC melaporkan kesemua mangsa merupakan rakyat Bangladesh, namun dinafikan kerajaan Bangladesh yang mendakwa hanya 118 rakyat negara itu yang ditahan.

Menurut broker dari Malaysia, ejen pemerdagangan manusia di Bangladesh memperoleh bayaran antara 5,000 taka (RM226) dan 10,000 taka (RM452) bagi setiap individu yang dibekalkan kepada sindiket itu dengan dalangnya mendapat antara 15,000 (RM678) dan 30,000 taka (RM1,356).

Pencari kerja itu tidak akan dibebaskan dari hutan Thailand sehingga kumpulan sindiket mendapat pengesahan daripada anggota mereka di Bangladesh bahawa mereka sudah menerima wang tebusan daripada keluarga mangsa dengan jumlah wang tebusan itu bersamaan 200,000 taka (RM 9,043) dan 350,000 taka (RM 15,826) setiap orang.

Jumlah itu memaksa anggota keluarga mereka terpaksa membayar wang tebusan dengan menjual tanah, menjual rumah mereka sendiri ataupun meminjam wang daripada ah long pada kadar faedah yang tinggi.