Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Shamsul Nizam Khalil berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut menyita dua buah lori yang digunakan untuk mengangkut minyak diesel sebelum dijual kepada pihak kilang.

Kata beliau, nilai rampasan keseluruhan bagi serbuan itu dianggarkan sebanyak RM219,313.

"Serbuan dilakukan setelah kami menerima aduan dan maklumat terdapat aktiviti penyelewengan barang kawalan diesel di premis tersebut.

"Berdasarkan pemerhatian dan risikan selama dua minggu, didapati pemilik premis ini masih menjalankan perniagaan barang kawalan diesel secara borong untuk edaran kepada pelanggan yang kebanyakkannya pihak industri dan kilang di sekitar negeri ini," katanya di sini hari ini.

Menurut Shamsul Nizam, siasatan mendapati syarikat itu pernah beroperasi sebagai pemborong minyak diesel untuk industri di sekitar Lembah Klang beberapa tahun yang lalu dan mulai beroperasi di sini sejak tiga hingga lima bulan lalu.

Tambah beliau, syarikat tersebut juga didapati mempunyai surat perlantikan yang telah tamat tempoh sah daripada beberapa syarikat pembekal bahan petroleum yang beroperasi di negara ini.

"Bagaimanapun, syarikat tersebut didapati tidak mempunyai lesen yang sah untuk berurus niaga diesel daripada Pengawal Bekalan Malaysia. - UTUSAN ONLINE