Kesemua wanita terbabit merupakan warga Thailand dan Vietnam berusia antara 20 hingga 37 tahun diberkas dalam serbuan selama empat jam yang berakhir pukul 3 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong berkata, daripada jumlah itu, seorang daripada mereka didapati positif mengambil dadah manakala lima lagi tidak memiliki dokumen.

“Pemeriksaan mendapati kesemua yang ditahan datang ke negara ini sebagai pelancong dan menjalankan aktiviti pelacuran dengan menawarkan khidmat antara RM70 hingga RM165 kepada setiap pelanggan.

“Kita turut menahan tiga warga asing masing-masing dari Iran, Bangladesh dan Vietnam serta dua lelaki tempatan yang dipercayai pelanggan serta seorang penjaga premis berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat operasi itu di Banda Hilir di sini.

Menurut Chee Leong, kesemua mereka yang mendakwa bekerja sebagai tukang urut itu akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Chee Leong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Laksamana berkata, pihaknya akan merujuk perkara tersebut kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan sitaan bangunan lama.

“Setakat ini kita kesan sebanyak 10 lokasi bangunan lama yang menjadi sarang untuk aktiviti tidak bermoral pelacuran dan akan meminta PBT terlibat menyita premis terbabit. - UTUSAN ONLINE