MUSTAFAR ALI
MUSTAFAR ALI

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, jumlah tersebut didapati mening­kat mendadak sehingga 91 peratus berbanding dua tahun lalu yang hanya mencatatkan 6,896 kes atau 19 kes secara purata setiap hari.

Katanya, trend pe­ningkatan mendadak jumlah dokumen perjalanan dicuri dan hilang (SLTD) yang dilaporkan pasukan Polis Antarabangsa (Interpol) bermula pada 2016 apabila jumlahnya bertambah kepada 45,095 kes.

“Sedangkan pada 2015, jumlah yang direkodkan Interpol hanya 6,896 kes. Pe­ningkatan secara mendadak itu dilihat bermula pada tahun lalu,” kata­nya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai pe­ningkatan kehilangan dan kecurian dokumen berkenaan, pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd. Rahim menyatakan, perkara itu dipercayai mempunyai perkaitan dengan aktiviti jenayah berikutan pasport Malaysia merupakan antara dokumen perjalanan yang mudah diakses di seluruh negara kecuali Israel.

Beliau juga percaya dokumen perjalanan itu sebenarnya dijual oleh pihak tidak bertanggungjawab kepada sindiket atau penjenayah seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini yang mana dokumen tersebut dijual dengan harga sekitar RM30,000 hingga RM50,000 pada 1990-an.

“Ini bukan perkara baharu ke­rana sudah berlaku sekitar 1980-an dan 1990-an. Harga pasaran itu mungkin lebih tinggi pada zaman ini.

“Pada masa itu juga terdapat kes sekumpulan polis London membuat tangkapan pelacuran dan didapati 16 perempuan yang ditahan menggunakan pas perjalanan Malaysia sedangkan ke­semua mereka adalah warga Thailand dan China,” ujarnya.

Nilai pasport Malaysia kini dikatakan mencecah sehingga RM250,000.

Mengulas lanjut menurut Shahul Hamid, pasport Malaysia laris di pasaran antarabangsa seperti ‘pisang goreng panas’ berikutan dokumen perjalanan itu memudahkan pemiliknya kerana tidak perlu membuat permohonan visa untuk memasuki negara-negara Eropah berbanding pas perjalanan negara-negara lain antaranya Pakistan, Bangladesh dan China.

Jelas beliau, jika kadar kehila­ngan dan kecurian tidak diturunkan, dikhuatiri imej negara akan terjejas, tambahan pula kes berkenaan dilihat berkait rapat dengan sindiket penjenayah.

Sehubungan itu, beliau menggesa Jabatan Imigresen mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan denda yang tinggi terhadap individu yang melaporkan kehilangan pasport atas ke­cuaian sendiri.

Tambahnya, denda yang tinggi membuatkan pemilik lebih bertanggungjawab sekali gus membendung isu kehilangan serta kecurian dokumen perjalanan berkenaan.