Timbalan Ketua Polis Pelan­congan Thailand, Mej. Jen. Surachet Hakpal berkata, operasi itu juga berjaya membongkar laluan utama yang digunakan oleh sindiket pemerdagangan manusia untuk menyeludup pendatang tanpa izin dari Myanmar ke Thailand dengan menjadikan Malaysia sebagai destinasi terakhir.

‘‘Laluan pemerdagangan ini bermula dari Koh Song, sebuah pulau Myanmar terletak berhampiran Ranong di selatan Thailand. Dari Ranong, pendatang akan dibawa dengan menaiki bas ke Chumphon dan Phattalung sebelum meneruskan perjalanan ke Hatyai, sebuah bandar di selatan Thailand,’’ kata beliau kepada wartawan di sini.

Dari Hatyai, pendatang akan dibawa sama ada ke Sadao atau Sungai Golok, dua bandar sempadan yang terletak paling hampir dengan sempadan Thailand-Malaysia untuk meneruskan perjalanan terakhir ke Malaysia, kata Surachet.

Beliau berkata, kebanyakan pendatang tersebut ialah migran Rohingya dan warga Myanmar yang lain.

Surachet berkata , empat daripada 23 ‘ejen’ pemerdagangan manusia yang ditangkap dalam operasi itu ialah warga Myanmar yang menjalankan kegiatan itu selama lebih lima tahun, untuk memudahkan kemasukan rakan senegara mereka ke Thailand dan Malaysia.

‘‘Mereka (keempat-empat ejen) akan merekrut warga Myanmar (di Myanmar) dan membawa mereka ke Koh Song dalam perjalanan yang kemungkinan berakhir di Malaysia sebagai destinasi ter­akhir,’’ kata beliau.

Beliau menambah, polis akan meningkatkan usaha untuk me­numpaskan rangkaian pemerdagangan manusia yang beroperasi di negara itu termasuk yang dijalankan oleh rakyat asing dan telah menjalin kerjasama dengan Malaysia bagi mencapai objektif tersebut.

Beliau percaya bahawa ‘rangkaian’ itu akan ditumpaskan dalam masa tiga bulan akan datang dan mereka yang terlibat dalam jenayah itu akan didakwa di mahkamah.

Dalam operasi selama tiga bulan itu, polis merampas dua buah bas, tiga trak pikap dan tiga ken­deraan, dipercayai digunakan oleh sindiket itu untuk membawa pendatang dari Ranong ke sempadan Thailand-Malaysia. – BERNAMA