Hampir 99 peratus yang ditahan adalah lelaki berusia 18 hingga 60 tahun dan kesemuanya merupakan penjaga pusat judi diberkas secara berasingan dalam serbuan Op Dadu serta turut dirampas wang tunai berjumlah RM20,276.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya telah menyerbu sebanyak 42 buah premis sepanjang tempoh tersebut. 

"Hasil serbuan, polis telah merampas wang tunai sebanyak RM12,718 (judi dalam talian), RM6,315 (loteri awam tanpa lesen) dan RM1,243 (judi-judi lain). 

"Daripada jumlah itu, seramai 181 individu telah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 4A (a)dan 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953, manakala baki dalam proses untuk pertuduhan," katanya dalam sidang akhbar selepas Op Dadu di Batu Berendam di sini hari ini. 

Menurutnya, seramai 186 tangkapan dibuat bagi operasi sama pada tahun lalu dengan jumlah rampasan sebanyak RM21,477.

Pada masa sama, Afzanizar memberitahu, pihaknya turut membuat tindakan pemotongan elektrik dan air di 17 buah premis sejak Jun lalu hingga semalam mengikut Seksyen 21A ARJT 1953 dan tindakan dibaca bersama Seksyen 38(1A) Akta Bekalan Elektrik 1990. - UTUSAN ONLINE