Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, kesalahan itu dikesan selepas pihaknya menjalankan 323 pemeriksaan harian di pasar raya, kedai runcit dan pasar borong di daerah ini sejak Rabu lalu. 

"Seramai 20 peniaga didapati gagal mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu manakala dua lagi kes melibatkan peniaga menjual barangan melebihi harga ditetapkan. 

"Kesemua peniaga yang melakukan kesalahan itu telah dikenakan kompaun sebanyak RM5,650," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

PENGUAT kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan melakukan pemeriksaan di sebuah kedai runcit di Seremban baru-
PENGUAT kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan melakukan pemeriksaan di sebuah kedai runcit di Seremban. - UTUSAN ONLINE

Ain Arjuna berkata, walaupun tiada aduan diterima daripada orang ramai setakat ini pihaknya tetap menjalankan pemantauan bagi memastikan hak pengguna terpelihara.

Beliau turut memberi amaran keras kepada peniaga supaya mengikuti arahan ditetapkan dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang melakukan kesalahan.

Menurutnya, skim kawalan harga yang dilaksanakan sehingga 8 Februari ini menyaksikan 13 barangan dikuat kuasa sebagai barang kawalan antaranya ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C serta kubis bulat import.

Beliau berkata, pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi talian 1800-886-800 atau mengirimkan aduan menerusi aplikasi WhatsApp di talian 019-279 4317. - UTUSAN ONLINE