Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Selangor, Superintenden R. Sundralingam berkata, mereka yang ditahan itu seawal usia 13 tahun dengan 53 daripadanya ialah pelajar sekolah menengah manakala 162 lagi penuntut institut pengajian tinggi (IPT).

Menurutnya, antara punca penglibatan golongan itu ialah disebabkan pengaruh kawan, rasa ingin mencuba yang tinggi, masalah keluarga dan kekurangan didikan agama.

“Berbeza dengan palajar IPT, tangkapan ke atas pelajar sekolah dilakukan ketika mereka bersama-sama orang dewasa lain dan bukan dalam kelompok pelajar.

“Kebiasaannya, pelajar-pelajar ini terlibat dengan penagihan dan pengedaran dadah jenis gamja, syabu, heroin, erimin dan ketum,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, R. Sundralingam memberitahu, jumlah tangkapan itu bagaimanapun berkurang berbanding tahun lalu yang mencatat jumlah penahanan sebanyak 245 orang.

“Namun, kita tidak anggap ini sebagai satu kejayaan untuk berasa selesa malah kita akan pergiatkan lagi usaha dalam memerangi wabak dadah ini terutamanya dalam kalangan pelajar,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE