Serentak dengan itu juga, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari me­ngarahkan langkah mitigasi membendung dan membersihkan sisa kimia tersebut bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini ke atas penduduk.

AMIRUDIN SHARI
AMIRUDIN SHARI

Dalam kenyataannya, Ami­rudin juga menjelaskan, siasatan lanjut telah dilakukan bagi mengenal pasti pihak yang membuang sisa kimia itu dan satu laporan polis juga sudah dibuat Lembaga Urus Air Se­langor (LUAS).

“Pihak LUAS telah memulakan kerja-kerja mitigasi serta membendung sejak pukul 8 malam semalam dan pagi ini telah dilantik bagi memulakan proses pembersihan dan dijangka mengambil masa dua hari untuk diselesaikan.

“Saya juga telah meminta Unit Bencana Negeri Selangor memantau perkembangan semasa dan bekerjasama dengan LUAS, Majlis Perbandaran Klang (MPK) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya di sini hari ini.

Petang semalam, penduduk di Taman Eng Ann cemas apabila menemukan sisa kimia yang dibuang di kawasan perumahan mereka ketika negara masih lagi terkejut dengan isu kimia di Johor yang menjejaskan lebih 2,000 mangsa.

Dalam perkembangan yang sama, Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim yang turun padang meninjau sendiri pencemaran itu berkata, 21 jenis bahan kimia tersebut masih da­lam siasatan pihak berkuasa.

“Hasil ujian yang dilakukan di makmal Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), terdapat 21 bahan kimia di dalam sampel yang telah diambil dari kolam takungan banjir itu.

“Bagaimanapun, kita masih menunggu laporan penuh daripada pihak berkaitan untuk tindakan seterusnya. Buat masa ini, pihak LUAS mengetuai misi pembersihan sisa kimia ini,” katanya. 

Tambah Chang Kim, proses pembersihan akan menggunakan kaedah oil bomb dan oil pack iaitu dengan cara memerangkap dan kemudiannya menyedut sisa kimia tersebut.