Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, operasi pertama dijalankan di sebuah rumah kongsi di Cyberjaya dan sebanyak 235 warga asing telah diperiksa.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 185 warga asing ditahan kerana pelbagai kesalahan seperti tiada dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa dan permit tamat tempoh.

“169 individu ialah warga Indonesia, 13 warga Thailand dan masing-masing, seorang warga Bangladesh, China dan Laos,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi itu di sini hari ini.

Turut serta dalam operasi tersebut ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman.

Menurut Mustafar, serbuan kedua pula dilakukan di sebuah hotel di Jalan Pudu di sini dan 18 wa­nita warga Thailand, Indonesia, Laos, China dan seorang lelaki Bangladesh ditahan.

“Kesemua mereka ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran dan kita turut menjumpai beberapa bara­ngan yang disyaki digunakan untuk aktiviti tersebut,” jelasnya.

Ujar beliau, kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.