Mengikut 18 pertuduhan, Mohd. Farid Yusof, 31, didakwa melakukan kekerasan jenayah dengan mencabul kehormatan sembilan murid yang ketika kejadian berusia antara sembilan dan 12 tahun.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan antara Februari 2014 dan April 2017 di tujuh lokasi berlainan iaitu di bilik guru lelaki, bilik kesihatan, bilik alat pandang dengar, bilik Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan di tiga buah kelas berlainan di sekolah rendah agama integrasi di Bangi.

Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Bagi dua pertuduhan sete­rusnya, tertuduh didakwa mela­kukan kelucahan melampau dengan merangsang dua kanak-kanak lelaki yang ketika kejadian berusia antara 10 dan 11 tahun termasuk seorang mangsa yang dicabul.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu masing-masing antara September 2015 dan November 2016 di bilik guru lelaki di sekolah sama.

Lelaki itu yang kini bekerja sendiri didakwa mengikut 377E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga dikenakan sebat, jika sabit kesa­lahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria tidak mencadangkan sebarang jaminan setelah mengambil kira perbuatan tersebut membabitkan 10 mangsa yang merupakan kanak-kanak namun tertuduh tidak diwakili peguam merayu supaya diberikan jaminan rendah.

Hakim Datin Surita Budin membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dia dilarang mendekati kesemua mangsa sehingga kes selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Jun ini.