Suspek warga Indonesia itu dipercayai menyusup masuk ke negara ini selepas insiden pengeboman tersebut yang tidak melibatkan kematian, bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa Indonesia dan merancang untuk mengumpul dana di negara ini sebelum berlepas ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas Daesh.

Bagaimanapun, hasrat suspek berusia 24 tahun itu berjaya dipatahkan selepas dia ditahan Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman di Pontian, Johor pada 30 November lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya kemudian menahan seorang bekas guru berusia 46 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 Disember lalu kerana dipercayai merancang untuk menyusup masuk ke selatan Filipina bagi menyertai kumpulan pengganas di sana.

“Suspek yang pernah me­ngajar di sebuah sekolah rendah di Kuching, Sarawak itu juga dikesan menjadi ahli kumpulan Whats­App The Rise of Jundullah yang terlibat dalam rancangan melancarkan serangan ke atas The Better Beer Festival pada Oktober lalu.

“Kumpulan WhatsApp itu turut dianggotai oleh tiga pelajar tingkatan enam yang telah ditahan di Pasir Putih, Kelantan pada 10 Oktober lalu kerana dipercayai mempelajari cara pembuatan bahan letupan yang diubah suai (IED) dan teknik pe­perangan me­lalui kumpulan WhatsApp tersebut,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Mohamad Fuzi memaklumkan, dalam operasi tersebut, pihaknya turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan berhasil menahan empat warga Indonesia berusia antara 31 dan 38 tahun pada 4 Disember lalu.

Ujarnya, keempat-empat suspek telah memasuki negara ini secara haram dari Tarakan dan Nunukan, Indonesia sebelum merancang untuk menyusup masuk ke Selatan Filipina bagi menyertai kumpulan pengganas di sana.

“Selain itu, seorang lelaki warga Filipina berusia 50 tahun yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan pemimpin ter­tinggi kumpulan pengganas Abu Sayyaf turut ditahan pada 6 Disember di ibu negara. Suspek disyaki berada di negara ini dan aktif merekrut rakan senegara” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi memberitahu, pada 10 Disember, pihaknya menahan enam warga tempatan dan lima warga Filipina berusia antara 16 dan 47 tahun di Sandakan, Sabah kerana merancang untuk me­nyertai kumpulan pengganas di Selatan Filipina.

Ujarnya, pada hari yang sama, pasukan E8 turut membuat satu lagi tangkapan di Masai, Johor melibatkan seorang warga Fili­pina yang disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Filipina kerana disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan.

“Dalam operasi terakhir di KLIA pada 15 Disember pula, kita menahan seorang lelaki rakyat sebuah negara di Utara Afrika berusia 31 tahun.

“Suspek memasuki Malaysia awal bulan ini dari sebuah negara jiran dan pernah ditangkap oleh pihak berkuasa Turki pada September tahun lalu kerana terlibat dalam kumpulan pengganas Daesh di Iraq dan Syria,” katanya.

Tambah beliau, kesemua suspek dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab VIA-Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747).