Penahanan pengurus kuari berusia 53 tahun dan broker berumur 51 tahun itu bagi membantu siasatan berkaitan kes salah guna kuasa membabitkan pembelian dua tanah lot yang dianggarkan bernilai lebih RM1.8 juta.

Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan pada pukul 5.40 petang di Pejabat SPRM negeri selepas mereka hadir untuk memberi keterangan.

“Siasatan awal mendapati pengurus kuari tersebut disyaki bersubahat dengan broker berkenaan bagi pembelian dua tanah lot di Mukim Kurong Anai tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah yayasan milik Kerajaan Negeri Perlis.

“SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap kedua-dua suspek hari ini di Mahkamah Majistret Kangar,” ujar sumber itu di sini hari ini

Kata sumber lagi, SPRM sedang mengesan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan kes sama yang disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Mohd. Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun tidak mengulas lanjut berhubung kes berkenaan. - UTUSAN ONLINE