Dua suspek yang berusia 44 dan 46 tahun itu menyangkakan dengan melakukan aktiviti ha­ram mereka pada awal pagi Ahad lalu adalah paling selamat kerana mereka percaya polis Thailand kepenatan selepas bertugas pada waktu yang panjang pada sebelah malam, maka tiada pemeriksaan pada kenderaan mereka.

“Mereka percaya memulakan perjalanan pada awal pagi akan memudahkan mereka tiba ke destinasi, Hatyai kerana pihak berkuasa yang bertugas di pusat pemeriksaan akan kepenatan selepas bekerja dalam tempoh yang lama.

“Tetapi mereka menggelabah selepas kereta mereka diberhentikan di pusat pemeriksaan di Chumpon kira-kira 8 pagi 11 Di­sember selepas memandu ber­jam-jam dari Bangkok, hingga disedari pihak berkuasa,” kata Pemang­ku Ketua Bahagian Pencegahan Narkotik, Mejar Je­neral Dusadee Choosankij.

Menurut Dusadee, pemeriksaan lanjut, pihak berkuasa me­nemukan 140 peket heroin seberat 52.4 kilogram (kg) dan 41 kg kristal methamphetamine bernilai jutaan ringgit yang disorok di bahagian belakang petak pembesar suara kereta itu.

“Kedua-dua warga Malaysia itu ditahan di Chumphon, selatan Thailand iaitu beberapa jam sahaja untuk tiba ke destinasi mereka, Hatyai,

“Mereka akan didakwa dan jika didapati bersalah bakal berdepan hukuman penjara seumur hidup,” katanya.

Jelas Dusadee, kedua-dua suspek diarah membawa dadah itu kepada individu atau orang yang tidak dikenali di Hatyai dan kemudian akan membawa bungkusan itu melepasi sempadan ke Pulau Pinang.

Beliau juga mendedahkan ketika ditahan, kedua-dua suspek masih lagi menerima panggilan telefon daripada anggota sindiket yang mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai dadah itu.

“Kami telah memeriksa nombor telefon mereka dan panggilan itu dibuat dari Pulau Pinang,” katanya.

Dusadee berkata, sebaik sahaja mengetahui suspek telah ditahan dan usaha mereka untuk membawa masuk dadah itu ke sempa­dan gagal anggota sindiket te­lah menghantar gambar yang mengerikan kepada kedua-dua suspek.

“Mereka menghantar gambar rakan suspek yang dipukul dan diseksa di Malaysia untuk me­nunjukkan itulah padahnya kerana gagal melaksanakan misi itu.

“Dadah yang dirampas itu dibungkus dengan rapi dan kemungkinan besar akan dieks­port semula ke sebuah negara ketiga selepas tiba di Pulau Pinang,” ujarnya – Bernama