Suspek yang digelar Mr. T atau Malaysian Iceman dari Johor dan Mr. G daripada Pulau Pinang dianggap sebagai anggota penting sindiket dadah antarabangsa yang bertanggungjawab dalam penyeludupan ratusan kilogram dadah ke Malaysia.

Pelbagai sumber polis Thailand memberitahu, kedua-dua mereka yang menyedari menjadi buruan pihak berkuasa menggunakan pel­­bagai tipu helah untuk mengelak daripada dikesan.

‘‘Misalnya, Mr. T sengaja menghidupkan telefon bimbitnya dan meninggalkannya di rumah kosongnya di Sadao semasa pergi ke Chiang Rai untuk memesan dadah.

‘‘Dia juga meninggalkannya rumahnya dengan lampu dan sistem pendingin hawa terpasang untuk menunjukkan kononnya dia sentiasa berada di rumahnya,’’ kata satu sumber kepada Bernama.

Sumber itu yang enggan dikenali berkata, semasa berada di Chiang Rai di utara Thailand, suspek berumur 64 tahun itu hanya menggunakan telefon awam dan telefon bimbit milik rakan-rakannya bagi menghubungi isterinya berketurunan Thai yang tinggal bersama anak lelaki mereka ber­usia 16 tahun di Hatyai.

Namun, tanpa pengetahuan­nya, kata sumber itu, pihak berkuasa telah mengawasinya sejak identi­tinya terbongkar hasil siasatan ke atas dua rakyat Malaysia di Sadao pada Mac tahun lalu, susulan cubaan mereka menyeludup 282 kilogram ‘‘Ice’’ ke Malaysia.

‘‘Menurut kedua-dua rakyat Malaysia itu, Mr. T bertanggungjawab sekurang-kurangnya bagi lima penyeludupan dadah ke Malaysia, yang setiap satu melibatkan lebih 100 kilogram Ice ke lokasi yang tidak diberitahu, sebelum dadah-dadah itu dibawa pula ke negara ketiga,’’ katanya.

Mr. T yang tinggal di Thailand sejak 20 tahun lalu dan fasih berbahasa Thai diberkas polis negara itu di lapangan terbang Hatyai sebaik kembali daripada Chiang Rai pada 19 April lalu.

Pihak berkuasa mendapati dia telah membina empayar perniagaan di Hatyai dan Sadao berkaitan pusat hiburan, restoran, perhotelan dan hartanah, yang kesemuanya telah dirampas.

Beberapa hari selepas penahanan Malaysian Iceman itu, polis Thai mencipta satu lagi kejayaan dengan penahanan seorang warga Malaysia berumur 44 tahun yang disifatkan pihak berkuasa sebagai kejam.

Dia dikenali akan menggunakan seksaan bagi memastikan anggotanya mematuhi arahan dan menjayakan tugas yang diberikan kepada mereka.

Serupa dengan Mr. T, aktiviti Mr. G terbongkar hasil penahanan dua rakyat Malaysia di Chumphon, selatan Thailand akhir tahun lalu setelah kira-kira 52.4 kilogram heroin and 41.9 kilogram kristal methaphetamine ditemukan dalam kereta mereka.

‘‘Selain amat fasih berbahasa Thai, pihak berkuasa juga mendapati individu itu mempunyai kad pengenalan palsu Thailand,’’ kata sumber itu dan menambah lelaki dari Pulau Pinang itu tinggal di kondominium mewah serta sering membawa pistol.

Dia ditahan semasa bersedia untuk menaiki pesawat bagi pulang ke Malaysia.

Penahanan kedua-dua Raja Da­dah itu menerima kerjasama baik daripada polis Malaysia yang memberi maklumat risikan penting me­ngenai kedua-duanya. – BERNAMA.